Copyrighted DeadRoseRealm

Thursday 10 March 2016

Panggilku Dara::3

_______________________________________________________

 Copyright © 2016 Rozaline. All Rights Reserved.

_______________________________________________________


Adara menyembunyikan telefon pintarnya di dalam kocek seluar ketika kakaknya, Dinara melintas di depannya. Rambut panjang Dinara yang berwarna hitam kecoklatan bersinar-sinar tatkala disirami cahaya mentari pagi.

Dinara sememangnya cantik. Malahan mungkin lebih cantik daripada dirinya.


Dinara Maitea

"Dara, kau tak pergi lagi? Bukan kau ada kelas ke pagi ini?" soal Dinara sambil mengeluarkan sekotak susu yogurt daripada peti ais. Memang sudah menjadi rutin bagi Dinara untuk memulakan harinya dengan minuman yogurt asli. Sejak kecil lagi dia sudah dididik begitu oleh mamanya.

Lain pula bagi Adara. Dia tidak akan pernah bersarapan yogurt sebaliknya dia akan mengambil segelas jus oren dan mungkin beberapa keping pancakes yang disirami dengan sos maple.

Dan kadang-kala dia akan bersarapan nasi lemak berlaukkan ayam goreng berempah. Selalunya masakan meliurkan itu akan Adara minta daripada Mak Toknya untuk sediakan pada setiap pagi Isnin. Tak tahu pula kenapa mesti pagi Isnin.

Mungkin hendak menghapuskan gejala Monday Blues yang sering dialaminya?

Apa-apa pun, sikap Dinara dan Adara memang jauh berbeza. Terlalu berbeza sehinggakan mama menjadi meluat mahu melayan kerenah Adara yang selalu tidak mahu mengikut perintahnya. Kalau dengan Dinara, mudah saja segala yang diarah, dituruti. Mama senang dengan Dinara tetapi sebaliknya pula dengan Adara yang mulutnya asyik dikunci rapat.

"Pukul 10.25 pagi." Jawab Adara, itupun antara dengar tak dengar saja apa yang keluar daripada mulutnya.

"Jomlah pergi dengan aku. Alang-alang guna satu jalan, baik kita pergi sekali. Minyak kereta kau pun boleh jimat. Lagipun papa tak bagi allowance untuk kau kan bulan ini?" Dinara mempelawa meskipun di akhir ayatnya kedengaran agak sinis.

Adara mencebik bibir merahnya ketika menyisip jus orennya. Kali pertama dia dan Dinara carpool telah membuatkan dia serik untuk menumpang wanita itu buat kali kedua. Kerana dia sudi menumpang Dinaralah yang membuatkan papa menggantung elaunnya untuk bulan ini.

Kali pertama menumpang kereta Dinara, fikirnya hanya dia dan kakaknya saja yang akan berada di dalam kereta, rupa-rupanya tidak. Ada seorang lagi manusia dan manusia itu adalah seorang lelaki asing yang merupakan teman lelaki Dinara.

Ketika Dinara berhenti di tepi jalan untuk singgah di kedai 7-Eleven, hanya tinggal dia dan lelaki asing itu berduaan di dalam kereta. Adara memang tidak suka berduaan dengan lelaki yang tidak dikenalinya jadi dia memutuskan untuk keluar daripada kereta sementara menunggu Dinara kembali tetapi lain pula jadinya.

Maruahnya hampir dicabul oleh teman lelaki Dinara tetapi mujur ada yang telah menyelamatkannya. Tetapi Dinara pula yang bersangka sebaliknya. Dia menuduh Adara hendak merampas teman lelaki kakaknya sendiri!

Tidak cukup setakat itu, Dinara mengadukan hal itu kepada mama dan papa. Marah sungguh mama dan papa bila Dinara menceritakan perkara itu kepada mereka. Bukannya Adara tidak pernah mencuba untuk menceritakan perkara yang sebenarnya namun setiap kali dia bercerita, mama dan papa pasti akan menolak kata-katanya mentah-mentah.

Mereka hanya mempercayai Dinara.

Dan Adara juga dah malas nak bertikam lidah jadi dibiarkan saja bila papa mahu menggantung elaunnya selama sebulan sebagai hukuman di atas perbuatannya.

"Tak apa. Aku boleh pergi sendiri," pelawaan kakaknya ditolak tanpa lengah. Jam di tangan menunjukkan pukul 8.30 pagi. Masih ada sejam lebih untuknya bersantai-santai sebelum memecut kereta Kia Sportagenya ke universiti.




"Ah, Dara. Asyik kereta gajah itu yang kau bawa ke merata-rata tempat. Bukan ke lagi okey kalau kau naik kereta aku je? Kereta aku itu comel dan kecik je jadi tak adalah jadi perhatian orang sangat bila masuk ke dalam kawasan institut kau itu," komen Dinara dengan wajah selamba.

Adara menggenggam gelas kaca yang berada dalam tangannya untuk mengawal kemarahan yang dirasakan kepada kakaknya ketika itu. Lantaklah kereta itu bersaiz gajah ataupun semut sekalipun, yang penting kereta itu dibeli menggunakan duit simpanannya sendiri, bukannya meraih simpati mama dan papa agar dibelikan kereta baharu yang mahal-mahal harganya.

Nama saja kereta bersaiz kecil tetapi harganya jauh lebih mahal daripada keretanya yang bersaiz gajah. Keretanya walaupun murah berbanding kereta Dinara namun dapat memuatkan lebih kurang lima orang di dalamnya. Kereta Dinara?

Cuma tiga orang saja yang boleh memasuki kereta itu. Kalau lebih mungkin ada kepala atau kaki yang terjulur keluar melalui tingkap.

"Tak apalah. Aku boleh pergi sendiri. Bye Dina," pamit Adara sebelum pantas mencapai beg yang mengandungi peralatan kuliahnya. Adara lebih rela pergi kuliah awal daripada duduk bertekak dengan kakaknya yang memang tak akan berputus asa untuk memujuknya supaya menaiki kereta bersama. Selagi apa yang diminta tidak ditunaikan, selagi itulah Dinara tak akan berhenti berusaha untuk mendapatkannya.

Sesampainya di institut, Adara rasa jiwanya seakan terpanggil untuk pergi ke padang besar yang terletak di sayap kanan universiti. Pada waktu pagi begini selalunya keadaan di padang lenggang berbanding pada waktu tengah hari dan petang. Mungkin ada segelintir pelajar saja di padang yang sedang melakukan aktiviti senaman dan mungkin juga ada yang sedang bersantai mengambil udara pagi yang segar.

Adara menyandarkan badannya ke sebatang pokok rendang yang sedang lebat dengan bunga-bungaan berwarna putih dan merah jambu. Sebuah buku dikeluarkan daripada begnya dan dia memulakan pembacaannya.

Dan semakin lama matanya meneliti setiap bait perkataan yang tercatat di dalam buku itu, semakin memberat kelopak matanya sehingga kadang-kadang tangannya yang sedang erat memegang buku hampir terlepaskan buku itu ke atas pangkuannya.

Lelah, Adara mengambil keputusan untuk meletakkan buku itu ke atas rumput dan dia cuba menyelesakan dirinya yang sedang bersandar pada batang pokok. Apabila dirasakan sandarannya cukup selesa, sepasang matanya langsung terpejam dan terus dia disambut gembira oleh kegelapan.

Written by,
Dead Rose



No comments:

Post a Comment