Copyrighted DeadRoseRealm

Monday 7 March 2016

Panggilku Dara::1

_______________________________________________________

 Copyright © 2016 Rozaline. All Rights Reserved.

_______________________________________________________



Dia senyum!

Pantas dia mengeluarkan telefon pintarnya untuk mengambil gambar gerangan yang sering diintipnya dalam diam.

Click! Click!

Dalam keasyikannya mengambil gambar gerangan yang diminatinya, gerangan yang menjadi mangsa intipannya itu menoleh ke arahnya.

Dia terpaku.

Ya Allah, tampannya!

Selalunya dia hanya melihat gerangan itu daripada sisinya saja. Tetapi mungkin hari ini dia bernasib baik, rezeki datang bergolek di hadapan mukanya. Bukannya dia tidak pernah cuba untuk melihat jejaka itu dari depan tetapi ada saja halangan yang mendatang. Hujan ributlah, kawan ajak study, shoppinglah, jejaka itu dihimpit rakan-rakan pasukan ragbinyalah. Macam-macam sehinggakan dia sudah berputus asa mahu melihat jejaka itu daripada pandangan hadapan.

Rakan-rakannya sudah puas menyuruh dia berhenti buat kerja gila itu tetapi dia hanya memekakkan telinganya. Dia tidak kisah kalau digelar perempuan tidak senonoh oleh mereka asalkan dia dapat lakukan apa yang dia suka dan itu termasuklah, menjadi stalker tidak bertauliah.

Kerjanya hanya mengambil gambar jejaka itu ketika dia menghadiri kuliah. Hanya pada ketika itu dia berkesempatan mencuri pandang jejaka itu jadi pada ketika itu jugalah dia akan curi-curi mengambil gambar jejaka itu.

 Sudah gila bayang, apa boleh buat.

Tetapi, dia tidaklah kemarukkan jejaka itu sampaikan dia terjatuh cinta kepada jejaka itu. Dia cuma mengagumi jejaka tampan itu. Tidak lebih dan tidak kurang. Perasaan cinta tidak berputik lagi buat jejaka tampan itu meskipun hatinya akan berdegup setiap kali memandang wajah itu.

"Miss!" tiba-tiba jejaka tampan itu menegurnya. Hampir-hampir telefonnya hendak terjatuh namun mujur dia sempat menangkap telefon itu daripada terus terjatuh menghempas lantai.

Adakah perbuatan 'haram'nya sudah ditangkap jejaka tampan itu?

"Err, err—" dalam kekalutannya tidak tahu hendak menjawab atau tidak teguran jejaka itu, bahunya dilanggar dari belakang buatkan telefon yang tadi telah terselamat daripada terjatuh, kembali terjatuh menghempas lantai sehingga bateri, kad sim dan kad memorinya terburai keluar, berterabur di atas lantai.

Dia segera melutut di atas lantai, kedua tangannya kelam kabut mengutip kesemua barangnya yang berada di atas lantai itu tanpa menghiraukan pelajar-pelajar yang lalu-lalang di sekelilingnya. Dalam kepalanya ketika itu hanya memikirkan koleksi gambar yang berada di dalam kad memorinya. Dia berharap sangat kad memori itu tidak rosak.

Kalau rosak, mana mahu dicari gantinya? Kad memori memang boleh dibeli yang baharu tetapi koleksi gambar di dalamnya mana mahu dicari?

Itulah yang membuatkan dia semakin panik dan cemas.

"Yes Abang Isaiah??" dalam dia cemas memikirkan koleksi gambarnya masih wujud ataupun tidak, kedengaran suara seorang gadis membalas teguran jejaka tampan tadi.

Adara mengetap bibirnya, cepat-cepat dia memasukkan kesemua benda yang dikutipnya ke dalam telefon kembali. Ah, malu sungguh dirinya ketika ini.

Siapa sangka rupa-rupanya jejaka tampan itu tidak menegur dirinya, sebaliknya gadis lain?

'Itulah, berangan tidak kira siang, malam Dara! Kan kau sudah malu begini.' Adara memarahi dirinya kemudian beg sandang yang melurut segera disangkut kembali ke bahunya.

Tidak menoleh ke belakang, pantas Adara membuka langkah besar untuk beredar dari situ. Berharap di kemudian hari dia tidak akan terlalai sebegitu lagi. Tersilap langkah boleh terpecah rahsianya yang curi-curi mengambil gambar jejaka itu tanpa meminta izin daripadanya dahulu.

"Aduh!"

"Maaf!" Adara memohon maaf kepada seorang perempuan yang dilanggarnya secara tidak sengaja dan segera berlari meninggalkan kawasan itu.

'Lagi-lagi cuai Dara!' Adara mengetuk kepalanya geram.

"Miss!"

Adara terhenti mengejut dalam langkah lajunya mendengarkan suara itu. Entah mengapa dirinya merasakan suara itu ternyata memang sedang menegur dirinya justeru Adara berhenti berjalan.

"You left this," tiba-tiba saja jejaka yang dikaguminya berada di depan mata buatkan bibirnya terkelu seribu bahasa.

Di tangan jejaka itu terdapat sebuah buku tebal.

"Miss?" jejaka itu melambai tangannya di depan muka Adara melihatkan gadis yang bermata menggoda itu merenungnya tidak berkelip.

Jangan direnung matanya dalam-dalam, wahai gadis. Kelak boleh jatuh suka.

Adara mengelipkan matanya, seolah baru tersedar daripada lamunannya yang tiada berpenghujung.

Tanpa kata dia terus mengambil buku itu daripada jejaka tampan di hadapannya. Tiada langsung ucapan terima kasih daripadanya kepada jejaka itu.

Hanya jelingan penuh makna diberikan Adara kepada jejaka tampan itu sebelum dirinya menghilang di sebalik lautan pelajar yang berpusu-pusu keluar daripada bilik kuliah masing-masing.




Written by,
Dead Rose


No comments:

Post a Comment